Friday, 16 November 2012
Semut dan Burung Merpati
Semut dan Burung Merpati
Pada suatu hari Ahad yang cerah, seekor semut sedang minum air di tebing sungai. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air. Dia rasa tentunya akan mati lemas. Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan dan ternampak apa yang berlaku. Dengan pantas, dia memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun itu. Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat. Semut berkata, "Terima kasih, sahabatku. Saya akan menolongmu suatu hari nanti."Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung. Dia ternampak merpati itu berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anaknya ke arah burung merpati itu.Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut mengingit kaki pemburu. Dia melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi. "Terima kasih, semut," kata burung merpati itu. "Kali ini, kamu telah menolong saya."
Belalang dan Lebah
Belalang dan Lebah
Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka sering bermain dan menyanyi bersama-sama.
Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan tujun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan. Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan.
“ Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan,” katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang yang sakit. Apabila hujan berhenti,lebah teringat akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah.
“Saya akan membawa makanan,” kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang. Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)